Mohd Rafi Mamat


Bentong: Lebih 200,000 benih pokok balak pelbagai spesies berusia antara tiga bulan hingga dua tahun yang diusahakan Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman (PPBBBT) musnah dibawa arus kepala air dalam kejadian banjir Disember lalu.

Selain itu, pokok hiasan dan buah-buahan seperti tampoi, durian, manggis dan jambu yang disediakan di bawah program hutan komuniti itu turut musnah.

Penolong Pegawai Kanan PPBBBT Lentang Solehan Saorani berkata, kerugian dianggarkan lebih RM4 juta termasuk kemusnahan kemudahan tapak semaian yang terdapat di situ.

Menurutnya, empat jentera seperti jentolak dan traktor serta beberapa peralatan lain turut ditenggelami banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Katanya, kawasan PPBBBT Lentang adalah laluan kepala air pertemuan Sungai Benus dan hulu Sungai Bentong yang membawa puing bersama lumpur dari Janda Baik dan Bukit Tinggi.

"Kejadian banjir dan kepala air yang berlaku akhir tahun lalu adalah yang terburuk dalam tempoh 40 tahun, sebelum ini banjir pernah berlaku tetapi tidak seburuk kali ini.

"Paras banjir setinggi kira-kira 1.9 meter yang membawa bersama lumpur dan pokok yang tumbang, arus air yang deras turut memusnahkan jambatan konkrit yang merentas Sungai Benus" katanya.

KERJA membersih semula rumah tapak benih balak yang musnah PPBBBT Lentang. FOTP Mohd Rafi Mamat
KERJA membersih semula rumah tapak benih balak yang musnah PPBBBT Lentang. FOTP Mohd Rafi Mamat

Beliau berkata demikian selepas turut sama dalam Program Gotong Royong Perdana (GRP) membersih dan membaiki kerosakan PPBBBT Lentang di sini, semalam.

Solehan berkata, usaha memulihkan PPBBBT Lentang mengambil masa sekurang-kurangnya setahun sekiranya tiada kekangan kelulusan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Pusat dan kerajaan Pahang.

"PPBBBT Lentang adalah tapak semainan terbesar di Semenanjung yang membekalkan pelbagai spesies benih pokok balak antaranya seperti meranti, merbau, perah, keruing, jelutong, kapor dan keladan.

"Anak benih berkenaan digunakan untuk projek tanaman semula kawasan ceroboh dan bekas lesen kawasan pembalakan termasuk program menghijaukan semula hutan di Semenanjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:43 AM