KEBUN cili Ahmad Irham yang diusahakan semula selepas ditenggelami banjir akhir tahun lalu.
KEBUN cili Ahmad Irham yang diusahakan semula selepas ditenggelami banjir akhir tahun lalu.
Fuad Hadinata Yaacob


Kejadian kebun cili fertigasinya ditenggelami banjir pada 18 Disember lalu adalah cabaran terbesar buat usahawan tani, Ahmad Irham Mohd Noor, 41.

Meskipun terpaksa menelan kepahitan apabila terpaksa menanggung kerugian hampir RM100,000, bekas jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd ini tidak mudah mengalah.

Kebunnya di Kampung Sri Tanjung, Dengkil, Selangor musnah sepenuhnya apabila air naik hampir dua meter.

Lebih menyedihkan, 5,000 pokok cili yang baru sebulan ditanam tenggelam, 50 beg baja AB yang baru dibeli larut dan 300 guni cocopeat atau sabut kelapa dihanyutkan air.

Selain itu tapak semaian, pondok, rumah pam, sistem perpaipan, racun turut ditenggelami air.

Bagi Ahmad Irham, walaupun sedih, dia yakin dan percaya kejadian itu ada rahmat di sebaliknya.

"Walaupun saya hampir putus asa, namun semangat kena kuat untuk meneruskan hidup.

"Saya tidak akan berpatah balik selepas menceburi penanaman cili secara fertigasi ini sejak dua tahun lalu," katanya.

Selepas kejadian itu, ahli keluarga dan rakan banyak membantunya termasuk membersihkan kebun yang dipenuhi selut serta sampah sarap.

Seperti baru bermula, bapa kepada dua anak lelaki itu menggantikan polibeg yang tidak boleh digunakan lagi kepada polibeg baharu.

Sabut kelapa yang boleh digunakan ditambah pada Januari lalu dan dia mula menyemai benih. Kini 2,500 pokok cilinya sudah berusia hampir dua bulan.

AHLI keluarga serta rakan membantu membersihkan kebun cili yang ditenggelami banjir.
AHLI keluarga serta rakan membantu membersihkan kebun cili yang ditenggelami banjir.

Menurutnya, pengalaman dua musim sebelum ini banyak mematangkan dirinya dalam sistem fertigasi khususnya tanaman cili.

Katanya, walaupun belum memperoleh keuntungan, ilmu yang diperoleh sama ada melalui kursus dan praktikal menjadi panduan serta bekalan supaya dirinya tidak mudah putus asa.

"Saya mengeluarkan modal hampir RM60,000 ketika hendak membuka kebun ini pada Julai 2020 dan pada musim pertama, saya memperoleh hasil 3,200 kilogram cili.

"Pada musim kedua, pokok cili saya diserang hama dan kulat menyebabkan hasil diperoleh kira-kira 600 kilogram saja.

"Sementara pada musim ketiga iaitu Disember lalu, kebun seluas 0.4 hektar (satu ekar) ini ditenggelami banjir menyebabkan semuanya musnah," katanya.

Menurutnya, setiap musim dia memerlukan modal agak besar untuk pembelian baja, racun selain kos seperti upah pekerja, air dan elektrik.

"Selepas kejadian banjir itu, isteri, ahli keluarga dan rakan banyak membantu untuk saya bernafas semula selain berharap mendapat bantuan segera daripada pihak berwajib," katanya yang kini kekurangan modal pusingan untuk menambah jumlah pokok cili.

AHMAD Irham kini bangkit semula selepas kejadian banjir baru-baru ini.
AHMAD Irham kini bangkit semula selepas kejadian banjir baru-baru ini.

Katanya, cili adalah tanaman jangka masa singkat yang bernilai tinggi, namun penanaman cili bukan mudah kerana ia memerlukan penjagaan rapi dan mudah mendapat serangan serangga perosak.

Antara penyakit yang sering dihadapi pokok cili adalah seperti kerinting, mozek virus, antraknos, hawar pucuk, layu bakteria dan lecuh anak benih.

Tanaman cili fertigasi adalah konsep tanaman yang menggunakan teknologi kawalan baja dan air secara automatik.

Kualiti air seperti tahap keasidan (pH) perlu sentiasa diperiksa bagi memastikan air itu boleh digunakan dan nilai pH yang sesuai antara 5.5 hingga 6.5.

Cili yang ditanam secara fertigasi mengambil masa matang antara 65 hingga 75 hari.

Ahmad Irham berkata, petani seperti dirinya perlu bijak mengawal perbelanjaan kerana cabaran pada masa depan seperti kejatuhan harga pasaran, kerosakan pokok dan masalah lain akan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 6:12 AM