Mohd Rafi Mamat


Pekan: Kerugian lebih RM900,000 ditanggung 90 pesawah Kampung Langgar dekat Pahang Tua, di sini selepas tanaman padi mereka ditenggelami banjir minggu lalu.

Lebih menyedihkan, kawasan sawah Kumpulan Pengguna Air (KPA) Mawar berkeluasan 280 hektar itu sudah matang dan sedia untuk dituai secara berperingkat.

Ketua KPA Mawar, Ibrahim Sulaiman, 64, berkata paras air di kawasan sawah setinggi kira-kira satu meter selepas hujan lebat berlaku secara berterusan bermula 15 Disember lalu, hampir keseluruhan sawah ditenggelami air.

Menurutnya, musim hujan yang berlaku lebih awal daripada kebiasaan menyebabkan jadual penanaman padi musim kedua tahun ini berubah dan proses menuai yang sepatutnya sedang dilakukan kini tidak dapat dilakukan.

"Saya dan pesawah lain reda dengan apa yang berlaku apabila padi tidak sempat dituai selepas ditenggelami banjir selama seminggu

"Hujan yang berlaku kali ini tidak dijangka, walaupun sistem perparitan kawasan sawah dianggap sempurna namun faktor lebihan hujan menyebabkan paras air bertambah dua hingga tiga kali ganda," katanya, di sini semalam.

Beliau menambah, setiap pesawah menanggung kerugian kira-kira RM3,000, membabitkan pembelian benih padi, racun, baja dan upah buruh. Proses membajak dibiayai oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan.

Ibrahim yang turut mengusaha sawah seluas 0.8 hektar, berkata impian meraih pendapatan lumayan hasil jualan padi musim kedua kali ini tidak menjadi kenyataan, padi yang menguning sedia untuk dituai musnah sekelip mata ditenggelami banjir.

Hanya dengan bantuan kerajaan saja dapat memulihkan semangat pesawah seterusnya memulakan semula projek tanaman padi tahun depan.

Bagi Tengku Azizul Rahman Tengku Adee Azran, 28, kejadian sawah KPA Mawar ditenggelami banjir ketika padi sedia dituai kali ke empat berlaku, pesawah tidak mampu berbuat apa-apa apabila hujan lebat berlaku secara berterusan beberapa hari.

Menurutnya, padi pada pokok akan rosak selepas hanya tiga hari berendam air, buah akan bertukar warna menjadi hitam dan terdapat juga yang bercambah.

"Saya tak sanggup melihat kawasan sawah ditenggelami banjir, sedang kami pesawah menunggu giliran menuai padi berlaku kejadian yang tidak diingini. Dalam sekelip mata impian meraih pendapat hasil jualan padi kini musnah.

"Kami sudah awalkan jadual menanam pada musim kedua kali ini bagi mengelak berhadapan musim tengkujuh, namun hujan berlaku lebih awal daripada yang dijangka," katanya.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris (tengah) bersama pesawah melihat pokok padi yang ditenggelami banjir. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris (tengah) bersama pesawah melihat pokok padi yang ditenggelami banjir. FOTO Mohd Rafi Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:54 PM