MARIAM Sidek.
MARIAM Sidek.
MARIAM (kanan) dan Junainah melihat anak benih yang sudah bercambah.
MARIAM (kanan) dan Junainah melihat anak benih yang sudah bercambah.
MARIAM dan Junainah melakukan proses pemilihan biji benih meranti di dalam makmal.
MARIAM dan Junainah melakukan proses pemilihan biji benih meranti di dalam makmal.
BIJI benih disembur dengan sedikit air setiap hari untuk galakkan percambahan.
BIJI benih disembur dengan sedikit air setiap hari untuk galakkan percambahan.
MEMILIH biji benih cengal di makmal.
MEMILIH biji benih cengal di makmal.
Mohd Rafi Mamat


Minat yang begitu mendalam terhadap tumbuhan menyebabkan dia tidak pernah jebu terbabit dengan aktiviti kajian dan menghasilkan pelbagai benih pokok balak sejak lebih 25 tahun lalu.

Kemahiran yang dimiliki menjadi penggerak utama kejayaan Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman (PPBBBT) Lentang, Bentong milik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu mampu menghasilkan lebih 100,000 pelbagai benih setahun.

Tugas utama Pengawas Hutan Mariam Sidek, 53, yang mula bertugas dengan JPNP pada 1983 itu membabitkan aktiviti di makmal seperti ujian percambahan benih lebih 20 jenis pokok balak yang terdapat di Semenanjung.

“Selepas proses kutipan biji dilakukan oleh Unit Memanjat, saya akan menimbang dan merekod sebelum ujian percambahan dilakukan di makmal. Biasanya biji benih ini akan bercambah dalam masa empat hingga tujuh hari, bergantung kepada spesies pokok balak.

“Sebagai contoh biji pokok cengal yang berkualiti mengambil masa lima hari untuk bercambah di dalam makmal. Selepas bercambah anak benih ini akan dipindahkan ke tapak semaian pasir sebelum dimasukkan ke dalam beg poli,” kata ibu kepada enam anak itu.

Dia yang berasal dari Pekan, Pahang berkata, minat yang mendalam terhadap tumbuhan terutama pokok balak membolehkan dia bertugas di PPBBBT Lentang dalam tempoh yang begitu lama.

Menurutnya, setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dia dan rakan sekerja menghadap pelbagai jenis anak benih balak seperti cengal, meranti, keruing, balau, kempas, kelat dan jelutong.

Kakitangan PPBBBT Lentang turut terbabit dalam penghasilan benih pelbagai pokok herba seperti tongkat ali, gandah rusa, lidah buaya dan mas cotek. Pihaknya turut menghasilkan benih pokok hiasan dan buah-buahan.

Mariam yang lebih dikenali dengan panggilan Kak Yam berkata, selain menjalankan tugas di makmal dia juga turut bertanggungjawab menguruskan tapak semaian terutama membabitkan rekod jumlah pokok, aktiviti menabung dan menyemai.

“Sebelum ini saya juga pernah terbabit dengan aktiviti mencari benih pokok balak liar yang banyak terdapat di beberapa kawasan hutan simpan di Bentong, Raub, Lipis dan Jerantut bersama kakitangan lain.

“Saya juga membantu Unit Memanjat mendapatkan biji benih. Anggota unit berkenaan memanjat pokok balak menggunakan tali dan memotong dahan yang terdapat banyak biji.

“Aktiviti berkenaan tidak selalu dilakukan kerana pokok balak tidak berbuah setiap tahun, sebagai contoh sekarang musim pokok cengal berbuah dengan banyak. Tumpuan pencarian kini dilakukan di kawasan hutan petak Fenologi Rotan Tunggal, Raub,” katanya.

Mariam berkata, sebelum dia bersara diharapkan pengalaman luas yang dimiliki dalam bidang menghasilkan biji benih pokok balak dapat dikongsi dengan kakitangan baru supaya imej PBBBT Lentang sebagai pengeluar utama benih balak di Semenanjung terus kekal.

“Saya gembira apabila terdapat beberapa kakitangan mula menunjukkan minat terhadap tugas makmal yang bukan sahaja memerlukan kemahiran tetapi juga pengalaman serta minat.

“Sebelum bersara saya akan mencurah semua ilmu yang ada bukan sahaja kepada rakan di PBBBT Lentang tetapi juga kakitangan JPNP dan jabatan perhutanan negeri lain,” katanya.

Bagi Pengawas Hutan Junainah Jamaluddin, 33, sebagai rakan dia banyak membantu Kak Yam menjalankan tugas di makmal termasuk menguruskan tapak semaian dan kerja lain.

“Ujian percambahan yang dilakukan di makmal memerlukan ketelitian. Paling seronok apabila usaha yang dilakukan berjaya hingga mencapai 95 peratus.

“Kepuasan dapat dirasakan apabila melihat akar keluar dari biji benih dan lebih bangga apabila melihat pokok berkenaan membesar seterusnya di tanam dalam hutan di negeri ini,” katanya yang berasal dari Temerloh.

Junainah yang tiga tahun bertugas di PBBBT Lentang berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini pihaknya berjaya mengumpul lebih 200 kilogram (kg) pelbagai biji benih pokok balak dan 50kg daripadanya adalah biji cengal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 12:02 PM