Muhamaad Razis Ismail

Di Malaysia, hutan dipterocarp bukan sahaja ekosistem yang penting, tetapi turut menjadi habitat untuk hidupan alam termasuk sumber kayu yang berharga.

'Mass flowering' atau pendebungaan secara besar-besaran antara fenomena unik yang berlaku di sebahagian besar hutan dipterocarp di negara ini.

Ia dapat diperhatikan melalui perubahan warna kanopi apabila tahun ini cukup istimewa kerana kita dapat melihat begitu banyak mosaik warna seperti kuning, merah dan putih di antara kanopi hijau hutan kita di seluruh Semenanjung Malaysia.

Uniknya, fenomena membabitkan pelbagai spesies pokok hutan ini hanya berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekali.

Dalam tempoh ini pelbagai spesies pokok seperti meranti sarang punai, meranti kepong, kempas, keruing, perah dan kedondong akan berbuah sangat lebat berbanding tahun sebelumnya.

Susulan itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di seluruh negara mengambil peluang menjalankan aktiviti perolehan biji benih untuk disemai sebagai merealisasikan inisiatif Program Penghijauan Malaysia.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menyertai Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melihat sendiri fenomena ini di Hutan Simpan Tekai Tembeling.

MEMERLUKAN teknik memanjat yang betul.
MEMERLUKAN teknik memanjat yang betul.

Pada masa sama, penulis dapat melihat pasukan pemanjat JPNP menjalankan aktiviti perolehan biji benih menggunakan kaedah memanjat.

Penulis kagum apabila melihat ribuan buah yang dijatuhkan dari pokok seolah-olah 'terbang' dengan sayapnya seperti payung terjun sebelum mendarat di atas tanah.

Ketua Penolong Pegawai Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman Lentang, Solehan Saorani berkata, ketika fenomena 'mass flowering' ini berlaku, hampir semua spesies pokok berbuah dengan lebat.

Katanya, dalam tempoh ini, jumlah buah meningkat sehingga 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Oleh itu, pihak Jabatan Perhutanan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Pahang mengambil kesempatan menjalankan aktiviti perolehan biji benih untuk disemai sebelum ditanam semula.

"Pelbagai spesies dipterocarp seperti mersawa, meranti, balau, resak, keruing, kapur, merawan dan cengal menjadi keutamaan kerana ia lebih berharga dan mendapat permintaan industri yang tinggi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

PETUGAS mengutip biji benih yang dijatuhkan.
PETUGAS mengutip biji benih yang dijatuhkan.

Beliau berkata, setiap buah daripada spesies dipterocarp mempunyai bilangan sayap yang berbeza.

"Sebagai contoh, buah yang mempunyai tiga sayap adalah daripada kumpulan meranti, dua untuk keruing dan lima untuk kumpulan kapur," katanya.

Menurutnya, terdahulu, pasukan pemanjat akan memanjat pokok yang sudah dikenal pasti untuk mengait dan menggegarkan dahan pokok bagi menjatuhkan buah.

"Kemudian proses mengutip dijalankan sebelum ia dibersihkan untuk semaian segera bagi mengelakkan benih buruk dan rosak. Benih kemudian dibawa balik untuk terus disemai di tapak semaian yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk bercambah.

"Selepas dua bulan, ia dipindahkan ke dalam polibeg yang mengambil masa selama setahun hingga dua tahun untuk mencapai saiz yang sesuai sebelum dibawa ke hutan untuk ditanam," katanya.

ANTARA peralatan digunakan untuk memanjat.
ANTARA peralatan digunakan untuk memanjat.

Pihaknya menyasarkan dapat memperoleh 500,000 biji benih membabitkan pelbagai spesies di sekitar hutan simpan di negeri ini.

"Aktiviti mengutip biji benih dijalankan sejak Julai lalu dan kita jangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada September," katanya.

Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, pihaknya mengambil kesempatan fenomena ini untuk menjayakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula 2021 hingga 2025.

"Pada masa sama, kita dapat membuat stok bahan tanaman di tapak semaian untuk ditanam semula di kawasan terbuka, bekas pembalakan dan bekas matau," katanya.

PASUKAN pemanjat memastikan keadaan pokok.
PASUKAN pemanjat memastikan keadaan pokok.

Katanya, menerusi kaedah memanjat, pihaknya dapat memperoleh lebih banyak biji benih berkualiti seperti yang disasarkan.

"Dengan memanjat, kita dapat memperoleh buah segar dan matang berbanding menggunakan kaedah kutipan anak benih liar yang peratus kehidupannya lebih rendah apabila dipindahkan dari habitat semula jadi ke tapak semaian ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 7:00 AM