GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Keputusan bedah siasat terhadap mayat lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Linggi, Kampung Linsum, dekat sini, Khamis lalu, mendapati tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, keputusan bedah siasat diperoleh petang semalam sejurus proses berkenaan selesai, namun identiti mangsa belum diketahui.

"Proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sudah selesai dan keputusannya sudah dikeluarkan. Berdasarkan hasilnya, kami mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada mayat berkenaan.

"Bagaimanapun, sampel hati dan tulang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Bantuan Teknik (D6) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban sudah mengambil cap jari mayat untuk semakan bangsa dan kerakyatan.

Harian Metro pada Khamis melaporkan mayat seorang lelaki tanpa identiti berusia lingkungan 30-an ditemukan terapung di Sungai Linggi, dekat Kampung Linsum.

Nanda dilaporkan berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu jam 1.50 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 11:41 AM