FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemukan terapung di kawasan takungan air di sebelah jalan masuk ke Muzium Diraja di Jalan Istana, di sini, Rabu lalu disahkan mati akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat terapung itu pada 9.46 pagi.

Menurutnya, pasukan polis dari Balai Polis Brickfields dan pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa adalah wanita berusia lingkungan 60 tahun.

"Mangsa memakai baju kemeja-T berkolar bulat berwarna merah dan seluar berwarna biru. Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, sebuah beg kain berwarna kuning yang mengandungi sehelai baju merah dan sebingkai cermin mata dijumpai.

"Mayat kemudian dibawa dan dirujuk ke Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati bahawa tubuh mangsa tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah," katanya.

Katanya, keputusan bedah siasat diperoleh Khamis lalu dan punca kematian akibat mati lemas.

"Waris mangsa sudah berhubung dengan polis hari ini dan pengecaman mayat dilakukan di Bahagian Forensik PPUM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 6:43 PM