ANGGOTA APM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa naik mayat lelaki yang ditemui dalam kolam di Teluk Bunut, Banting, hari ini. FOTO ihsan APM.
ANGGOTA APM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa naik mayat lelaki yang ditemui dalam kolam di Teluk Bunut, Banting, hari ini. FOTO ihsan APM.
Amirul Aiman Hamsuddin


MAYAT seorang lelaki ditemui terapung di kolam di Banting, Kuala Langat, semalam, berjaya dinaikkan, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Langat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.45 petang semalam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, operasi mencari mayat berkenaan dimulakan pagi hari ini sebelum mayat belum dikenal pasti itu ditemui jam 12.02 tengah hari di kolam berkenaan.

“Bot kemudian digunakan untuk membawa mayat ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, lelaki berkenaan dipercayai meninggal dunia lebih daripada lima hari menyebabkan keadaan mayat sudah reput ketika ditemui.

“Disebabkan mayat itu sukar dikenal pasti, proses bedah siasat akan dijalankan pada esok.

“Buat masa ini, kami masih belum dapat mengelaskan punca kejadian,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Menurut Azizan, mayat dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat dan polis menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 9:08 PM