Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir melalui Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia itu membabitkan KPKT bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menurutnya, KPKT dan KPLB masing-masing memperuntukkan RM50 juta membabitkan kos RM5,000 sehingga RM15,000 untuk membaik pulih rumah dan RM56,000 bagi kos bina baharu.

Katanya, tanggungjawab bersama itu dilaksanakan di mana KPKT akan melaksanakan rumah kategori bandar di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala KPLB bertanggungjawab bagi rumah kategori luar bandar.

"Setakat ini terdapat 8,257 jumlah rumah yang terjejas akibat banjir. Sebanyak 118 adalah bagi pembinaan baru manakala 8,139 bagi membaik pulih rumah yang terjejas," katanya pada sidang media bersama KPKT dan KPLB Komited Merawat Keresahan Rakyat Dengan Pelaksanaan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di sini, tadi.

Turut hadir, Menteri KPKT, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir BagiTujuan Baik Pulih dan Bina Semula Rumah yang berlangsung Jumaat lalu dan di Pengerusikan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Nor Azman Taib membincangkan usaha bersepadu bagi memurnikan data mangsa yang terkesan.

Reezal berkata, inisiatif itu membabitkan tiga fasa iaitu kerja pengumpulan data oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) yang dijalankan di peringkat daerah.

Menurutnya, fasa dua membabitkan pelaksana dan agensi penilai membabitkan KPKT, KPLB, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri.

"Manakala fasa ketiga membabitkan kerja pembinaan atau baik pulih semua rumah yang terkesan sehingga siap dan kemudian akan dilaporkan semula kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Pusat Data Utama mangsa banjir.

"Pelaksanaan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di peringkat KPKT akan dilaksanakan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) selain JKR.

"Anggaran awal kos di peringkat KPKT adalah sebanyak RM83.4 juta di mana SPNB akan membina rumah baharu manakala PR1MA akan melakukan kerja baik pulih," katanya.

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap ketika sidang media Berkaitan Pelaksanaan Pembaikan dan Pembinaan Rumah Pasca Banjir di Kementerian Pembangunan Luar Bandar. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap ketika sidang media Berkaitan Pelaksanaan Pembaikan dan Pembinaan Rumah Pasca Banjir di Kementerian Pembangunan Luar Bandar. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 5:46 PM