REEZAL Merican. FOTO Arkib NSTP
REEZAL Merican. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Jelebu: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setakat ini menyalurkan RM5.4 juta menerusi peruntukan darurat bagi kerja pembersihan, kutipan dan pelupusan sisa banjir kepada lima negeri yang terjejas dalam bencana itu.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2.9 juta diagihkan kepada Pahang, Selangor (RM2.1 juta), Kuala Lumpur (RM255,671), Melaka (RM145,196) dan Negeri Sembilan (RM23,684).

Katanya, peruntukan itu juga mungkin ditambah sekiranya ada keperluan.

"Pahang dan Selangor adalah negeri yang besar jadi ia memerlukan lebih peruntukan untuk tujuan itu. Soal pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal adalah di bawah tanggungjawab KPKT, namun kerjasama kerajaan negeri juga diperlukan.

"Petugas SWCorp juga sudah turun ke lapangan dan kami turut bayar gaji pekerja pembersihan melalui peruntukan itu. Setakat ini SWCorp menggerakkan 234 unit jentera dan peralatan khusus bagi membantu kerja pascabanjir di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Puom di sini, hari ini.

Pada 22 Disember lalu, KPKT bersama agensi di bawahnya mengumumkan peruntukan lebih RM60 juta bagi usaha pemulihan banjir di seluruh negara.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, KPKT turut melipatgandakan aset selain bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi mempercepatkan operasi pascabanjir dan pembersihan awam di kawasan terjejas.

Menurutnya, KPKT juga akan menambah tong roll on roll off (roro) terutama di Selangor kerana negeri itu mempunyai timbunan sampah yang banyak, sekali gus mengelak penyebaran penyakit dan memastikan kesihatan rakyat diutamakan.

"Ia juga berkait dengan soal psikologi dan kesihatan mental rakyat. Justeru, mereka mahu segera keluar daripada kesulitan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 4:57 PM