MAHDZIR (depan, kiri) menghadiri HSN 2021 peringkat KPLB. FOTO Samadi Ahmad
MAHDZIR (depan, kiri) menghadiri HSN 2021 peringkat KPLB. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Hari Sukan Negara 2021 (HSN 2021) yang disambut hari ini turut dijayakan di peringkat kementerian bagi menyokong aspirasi dan wadah yang dicetuskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), 250 kakitangan bersama ketua jabatan diketuai Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyertai beberapa aktiviti sukan antaranya senamrobik, zumba dan berbasikal.

Antara tetamu yang menyertai HSN 2021 ialah Timbalannya Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutallib, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif SW Corp Malaysia Ismail Mokhtar.

Reezal Merican dalam ucapannya berkata, semua warga KPKT dan agensi di bawahnya termasuk warga Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sama-sama kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat pada setiap masa.

Katanya, pasukan bomba barangkali lebih 'fit' terutamanya ketaika Bulan Kesiapsiagaan Nasional.

"Kita yang bukan bomba ini barangkali kena usaha untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan lebih aktif," katanya.

Sementara itu di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) HSN 2021 diadakan secara hibrid disertai 100 warga kementerian menyertai senamrobik secara fizikal, manakala 600 lagi warga kerja daripada 10 agensi KPLB menyertai senamrobik secara dalam talian di seluruh negara.

Program ini turut disertai Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahadzir berkata, beliau menyeru komuniti luar bandar untuk sama turut serta dan menyokong pelaksanaan HSN 2021.

Katanya, sesungguhnya KPLB bersama-sama jabatan dan agensi dalam menyokong penuh usaha KBS menyahut cabaran dan laungan semangat kesukanan demi menjayakan misi.

"Ayuh seluruh rakyat Malaysia terutamanya Keluarga KPLB kita laksanakan aktiviti riadah hari ini dan teruskan bersukan pada hari-hari akan datang bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam Keluarga KPLB," katanya ketika merasmikan HSN 2021 peringkat KPLB.

Majlis perasmian HSN 2021 Peringkat Kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kementerian Belia dan Sukan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 11:18 AM