Yusmizal Dolah Aling


Hulu Langat: Hampir RM6 juta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diagihkan kepada kira-kira 6,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir di daerah ini, setakat ini.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata, pihaknya kini menumpukan kepada fasa pemberian bantuan di kawasan terjejas.

Katanya, proses pembersihan di kawasan banjir sudah selesai antara 95 hingga 100 peratus hasil penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi Persekutuan, bantuan pelbagai badan bukan kerajaan serta pemimpin setempat.

"Alhamdulillah, setakat ini fasa pembersihan berjalan dengan lancar dan semua pihak memberikan kerjasama terbaik untuk membantu mangsa.

"Proses pemulihan pasca bencana banjir di mukim Hulu Langat diberikan tumpuan, terutama di Taman Sri Nanding kerana bilangan rumah terkesan banjir yang banyak disamping kawasan lain seperti Sungai Lui Kampung Jawa, Pekan Batu 14 dan 18, Sungai Tekali dan Dusun Tua.

"Sebelum ini, kita bersihkan sampah pukal dan hantarkan ke pusat transit. Itu semua sudah selesai dan sekarang kita fokuskan kepada pemberian bantuan pula," katanya pada Majlis Penyerahan BSB di Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Dr Ani berkata, selepas ini pihaknya akan meneruskan kerja berkaitan termasuk pembaikan infrastruktur, cerun, bina baru dan baik pulih rumah yang terkesan.

"Saya berharap semua mangsa banjir akan menerima bantuan dengan segera menerusi hebahan yang sudah dibuat sebelum ini.

"Setakat ini semuanya lancar dan KIR yang tidak hadir akan menerima bantuan pada tarikh dan masa yang akan ditentukan kemudian," katanya.

Sementara itu, seorang penerima Mohd Rizal Ahmad, 43, berkata, dia bersyukur dengan bantuan itu yang membantu meringankan beban.

Katanya, ini kali pertama kejadian banjir berlaku di Taman Tropika dan ia mengakibatkan kerosakan barang-barang di rumahnya.

"Saya baru duduk di kawasan itu tiga bulan lalu dan memang tak menjangkakan akan dilanda banjir.

"Alhamdulillah bantuan ini sedikit sebanyak melegakan saya, daripada tak ada," katanya.

Seorang lagi mangsa, Hamidah Tam, 61, berkata, dia berterima kasih dengan bantuan yang diberikan walaupun masih sedih dengan banjir yang menimpa.

"Sepatutnya saya mengadakan majlis perkahwinan anak pada 1 Januari. Semuanya terpaksa dibatalkan kerana rumah ditenggelami air.

"Dengan bantuan ini, dapatlah meringankan beban sedikit sebanyak. Lepas ini nak cuci rumah sedikit lagi. Sebelum ini pernah kena, tapi tak teruk begini," katanya yang tinggal di Sungai Serai sejak lebih 20 tahun lalu.

Penduduk di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Shah Alam membersihkan kenderaan masing-masing seleps dtenggalami air akibat banjir.
Penduduk di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Shah Alam membersihkan kenderaan masing-masing seleps dtenggalami air akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 1:53 PM