Mohamed Farid Noh


Segamat: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir seluruh negara disegerakan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi membolehkan mangsa banjir dapat menggunakan wang berkenaan bagi membeli keperluan mereka dengan segera.

"Saya sudah beri arahan supaya wang ihsan mesti disegerakan. Jika boleh sebelum mangsa pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS), ia perlu diselesaikan.

"Sebelum ini agihan wang ihsan ambil masa antara tiga hingga enam bulan, namun sekarang ia perlu dipercepatkan. Kita tak nak lepas enam bulan baru (mangsa banjir) dapat wang ihsan.

"Ada seorang makcik (mangsa banjir) memberitahu saya dia sudah tinggalkan rumah tiga empat hari dan tidak tahu apa jadi barangan di rumahnya. Sudah tentulah barangannya sudah rosak kalau terendam dalam banjir tiga atau empat hari.

"Kita segerakan pemberian wang ihsan supaya mangsa banjir dapat segera dapat beli barang keperluan terutama pakaian dan makanan sementara dapat bantuan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Tandong, Buloh Kasap, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri yang menghabiskan masa lebih sejam di PPS berkenaan turut diberikan taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Segamat mengenai banjir di daerah ini.

Beliau turut menyampaikan wang ihsan kepada 26 ketua keluarga di PPS berkenaan yang membabitkan sebanyak RM1,500 yang mana RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM500 daripada negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan segera RM5 juta bagi membina ban baharu di Sungai Muar, di sini, bagi menyelesaikan isu banjir di daerah ini.

"Saya sudah dengar pembentangan JPS, jika nak elak banjir berterusan di Segamat, ban baharu perlu dibina supaya ketinggian dapat dinaikkan.

"Ban yang pecah di Segamat berikutan ia tak dapat menampung jumlah air yang terlalu besar, oleh itu saya luluskan peruntukan RM5 juta supaya ban baharu dapat dibina segera sebagai pelan jangka panjang kurangkan banjir di daerah ini.

"Pembinaan ban itu akan dilaksanakan di Kampung Spang Loi, membabitkan naik taraf ban sedia ada sepanjang 1.5 kilometer (km) dan meninggikan dari aras 5.2 m kepada 6.2 m bagi menampung air banjir yang meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir di kawasan atau negeri yang berhadapan isu banjir yang mendesak serta kritikal.

"Kawasan seperti Segamat di Johor, Temerloh di Pahang serta Kelantan kita akan fokus untuk selesaikan isu banjir kerana terdapat keperluan mendesak.

"Selepas itu, kerajaan akan menyelesaikan isu banjir di kawasan dan negeri lain seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 2:48 PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama kanak-kanak antara mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Tandong, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama kanak-kanak antara mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Tandong, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN