BERNAMA

Kuala Terengganu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera menjalankan projek rancangan tebatan banjir (RTB) terutama di Johor, selaras arahan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan kaedah reka dan bina dalam projek RTB yang dilaksanakan nanti kerana ia disifatkan antara kaedah yang lebih cepat dan berkesan.

"Memang sudah ada di dalam senarai (projek RTB terutama di Johor), tinggal lagi hendak direalisasikan kaedah bagaimana, sama ada kaedah konvensional atau reka dan bina.

"Apabila Perdana Menteri maklumkan hendak cepat, maksudnya kalau hendak cepat kita perlu guna kaedah reka dan bina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Makan Malam Institut Jurutera Malaysia (IEM) Terengganu 2023 di sini, malam tadi.

Katanya, selain di Johor, JPS juga sedang mengenal pasti lokasi di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak yang perlu dijalankan projek RTB dengan segera bagi mengurangkan impak kejadian banjir.

Semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah di Segamat semalam, Anwar memberi jaminan bahawa projek RTB terutamanya di Johor, akan disegerakan operasinya bermula Jun ini.

Katanya, proses tender projek tebatan banjir berkenaan harus disegerakan dan perlu beroperasi cepat memandangkan isu banjir di Johor terutamanya, sesuatu isu yang berulang.

Dalam pada itu, Md Nasir berkata, JPS akan menempatkan antara 10 hingga 20 lagi pam bergerak di kawasan kritikal di Johor bagi mempercepatkan aliran air banjir, sebagai tambahan kepada sekitar 15 pam bergerak yang sudah dipasang di beberapa kawasan di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak.

"Kami memang siap sedia dengan pam bergerak ini di seluruh negara. Contohnya kami ada sediakan (beberapa pam bergerak) di Terengganu dan sekiranya Terengganu tidak banjir kami akan ambil dan hantar ke Johor," katanya.

BEBERAPA penduduk setempat meredah banjir dari kediaman ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika tinjauan di Seri Medan, Batu Pahat. FOTO BERNAMA
BEBERAPA penduduk setempat meredah banjir dari kediaman ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika tinjauan di Seri Medan, Batu Pahat. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 9:06 AM