ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO OSMAN ADNAN
ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO OSMAN ADNAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Waris kepada mangsa banjir yang meninggal dunia akan menerima wang pengurusan kematian berjumlah RM5,000.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, wang pengurusan kematian itu salah satu daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Disember lalu.

"Antara syarat kelayakan adalah warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan diri (MyKad); mangsa ketika bencana berlaku; mangsa mendiami atau menduduki rumah persediaan dan wajib mendaftarkan nama dengan maklumat lengkap menggunakan nama ketua isi rumah (KIR).

"Bagi yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), mereka perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) atau ketua kampung (KK) masing-masing," katanya pada sidang media di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri dan proses verifikasi akan dipermudahkan.

Katanya, sebelum ini proses perlu melalui Pejabat Daerah seterusnya ke peringkat negeri dan kepada Nadma.

"Khusus untuk kali ini, kita mempercepatkan apabila negeri akan memberi anggaran berapa (mangsa banjir) dan di situ kita akan salurkan peruntukkan sewajarnya.

"Sejajar dengan arahan Perdana Menteri untuk menyegerakan pengagihan, kerajaan negeri sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) diminta kerjasama untuk berbuat demikian dan Nadma sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri melalui JPBN dalam mengemaskini data mangsa yang terjejas.

"BWI turut memperuntukkan RM1,000 yang akan diberikan kepada semua ketua isi rumah mangsa terjejas sama ada berpindah ke PPS atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 6:27 PM