TANGKAP layar video tular menunjukkan ban berdekatan rumah pam Kampung RTB Sungai Changgang pecah. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular menunjukkan ban berdekatan rumah pam Kampung RTB Sungai Changgang pecah. FOTO Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Hujan berterusan serta air pasang yang melanda daerah ini semalam menyebabkan berlakunya kejadian limpahan air Sungai Langat yang seterusnya menyebabkan hakisan ban.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa hakisan antara tiga ke empat meter lebar itu berlaku 10 pagi tadi di Kampung Labohan Dagang serta Kampung RTB Bukit Changgang di sini.

"Susulan itu, JPS segera melakukan kerja pembaikan dan pengukuhan ban sungai berkenaan. Sehingga kini limpahan air sungai di kawasan jajaran Sungai Langat adalah terkawal.

"JPS sudah menggerakkan empat jentera di setiap lokasi bagi kerja pembaikan dan pembaikan ban sudah siap dibaiki sepenuhnya di Kampung Labohan Dagang manakala di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dijangka siap dibaiki petang ini," tulis kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

"Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – Dept. of Irrigation and Drainage dan twitter @DID_Malaysia," jelas kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan ban berdekatan rumah pam Kampung RTB Bukit Changgang, pecah pagi tadi.

Difahamkan, kejadian itu berlaku sekitar 10.10 pagi, mengakibatkan air Sungai Langat mula memasuki kawasan tali air berdekatan kampung berkenaan.

Semalam, 15 individu dari enam keluarga dari Kampung Sungai Nangka, Banting berpindah keluar dari rumah masing-masing selepas kawasan sekitar dinaiki air separas 0.6 meter susulan hujan berpanjangan serta air pasang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:37 PM