Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Polis akan menutup laluan di kedua-dua arah di Pantai Seberang Takir atau lebih dikenali sebagai Pantai Miami jika orang ramai berterusan menghampiri kawasan berkenaan berikutan fenomena air pasang besar yang melanda ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, langkah itu diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku selain kesesakan lalu lintas susulan peningkatan jumlah kenderaan di laluan berkenaan.

Katanya, pihaknya menutup laluan dari jalan pesisir Pantai Seberang Takir ke Bandaraya Kuala Terengganu (Jambatan Angkat) membabitkan jarak hampir lima kilometer itu bermula malam kelmarin (Khamis) susulan fenomena angin kencang dan air pasang besar.

"Kita jangka penutupan itu sehingga esok (Ahad) bagi menjamin keselamatan pengguna berikutan berlaku limpahan ombak serta sampah-sarap di lokasi berkenaan.

"Walaupun kita menutup laluan itu, namun orang ramai masih melalui jalan ini dan ada antaranya menghampiri pantai untuk melihat fenomena air pasang besar ini.

"Keadaan ini bukan hanya boleh menyebabkan kesesakan jika pengguna memberhentikan kenderaan di bahu jalan tetapi turut berbahaya apabila mereka ini menghampiri pantai," katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan di sekitar Pantai Miami di sini.

Abdul Rahim berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menjadikan fenomena yang berlaku ketika ini sebagai pesta kerana keadaan ombak yang tinggi serta angin kencang tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pantai walaupun hanya sekadar untuk bermain di tepi pantai.

Katanya, pihaknya akan melakukan rondaan berterusan di kawasan pantai di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sehingga keadaan cuaca kembali baik.

KETUA Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din (kiri) menasihatkan pengunjung yang berada di kawasan pantai. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
KETUA Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din (kiri) menasihatkan pengunjung yang berada di kawasan pantai. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

"Selain di Pantai Miami ini, kita akan melakukan rondaan di Pantai Tok Jembal, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Batu Buruk, Pantai Batu Rakit dan Pantai Pandak yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Jika masih ada yang ingkar dan berterusan menghampiri kawasan pantai, kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang yang bersesuaian seperti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 9:12 AM