Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,513 mangsa pagi ini dengan menyaksikan Tanah Merah menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.

Kesemua mangsa membabitkan 445 keluarga itu ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Setakat ini, tiga daerah dilanda banjir iaitu Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah susulan hujan lebat sejak kelmarin.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi ini, Jeli merekodkan seramai 1,275 mangsa yang ditempatkan di sembilan PPS.

PPS berkenaan adalah Dewan Orang Ramai KESEDAR Sungai Satan (291 orang) Dewan KESEDAR Bukit Lakota (186 orang), SK Lubok Bongor (293 orang), Masjid Gemang (111 orang), SK Legeh (123 orang), SK Jeli 1 (127 orang) SK Kuala Balah (63 orang), SMK Ayer Lanas (54 orang), SK Bukit Jering (27 orang).

Kuala Krai pula merekodkan 228 mangsa yang ditempatkan di lapan PPS.

PPS berkenaan adalah Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A (81 orang), Madrasah Chuchuh Puteri A (41 orang), Masjid Chuchuh Puteri A (27 orang), Pejabat Veterinar (20 orang) dan Dewan Sri Guchil (5 orang), SK Sungai Embak (11 orang), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yuk Chai (28 orang) dan Surau Biak B (15 orang).

Tanah merah yang menjadi daerah terbaharu banjir setakat ini merekodkan 10 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 10:03 AM
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed hadir menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Kesedar Sungai Satan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed hadir menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Kesedar Sungai Satan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR