LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,929 orang berikutan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pasir Mas sehingga 9 malam ini berbanding 1,682 orang 4 petang tadi.

PPS baru itu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong yang menempatkan 39 mangsa.

Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my, mangsa banjir berkenaan membabitkan 601 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

Mangsa banjir di SK Tok Deh juga meningkat kepada 704 orang berbanding 680 orang petang tadi, diikuti SK Gual Periok yang turut meningkat kepada 532 orang.

Selain itu, mereka juga ditempatkan di SK Kubang Kual (212 orang), PPS Putat Tujoh dengan jumlah 143 orang, SK Sri Kiambang (231 orang) dan Masjid Mukim Padang Licin seramai 68 orang.

Mereka membabitkan 640 lelaki dewasa, 623 wanita dewasa, 615 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta 51 bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 10:11 PM