LOKASI kerosakan Jambatan Jalan Machang-Jeli akibat bencana banjir di Bawah Jambatan Kusial Tanah Merah. FOTO NIk Abdullah Nik Omar
LOKASI kerosakan Jambatan Jalan Machang-Jeli akibat bencana banjir di Bawah Jambatan Kusial Tanah Merah. FOTO NIk Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir yang menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus berkurangan kepada 19,213 orang setakat 3 petang ini berbanding 24,297 orang, pagi tadi.

Kesemua mangsa itu membabitkan 6,267 keluarga ditempatkan di 55 PPS di enam daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok.

PPS di tiga daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Machang ditutup, tengah hari tadi selepas kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, jumlah mangsa banjir di Pasir Mas mencatatkan pengurangan, namun masih tinggi iaitu seramai 12,779 orang yang berada di 25 PPS.

Mangsa banjir di Pasir Mas ditempatkan di PPS termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh seramai 1,577 orang, diikuti SK Sri Rantau Panjang 2 dengan 1,495 orang, SK Gual Periok dengan jumlah 1,316 orang dan SK Gual Tinggi dengan 1,204 orang.

Selain itu, mangsa banjir yang ditempatkan di Tumpat berjumlah 4,250 orang di 14 PPS, Pasir Puteh dengan 1,206 orang di lapan PPS, Bachok dengan 857 mangsa daripada di enam PPS.

Pada masa sama, mangsa banjir di Tanah Merah seramai 104 orang di satu PPS, dan di Kota Bharu dengan jumlah 17 orang di satu PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 3:49 PM