IDRIS Ahmad. FOTO Luqman Hakim Zubir
IDRIS Ahmad. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Sebarang keputusan berkaitan penangguhan ibadah umrah akan diputuskan selepas kerajaan meneliti penilaian risiko penularan varian Omicron di Arab Saudi dan dalam kalangan jemaah tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum tindakan lanjut dibuat.

Menurutnya, sebarang langkah yang bakal diambil kerajaan adalah demi memastikan keselamatan rakyat Malaysia dan umat Islam yang mahu menunaikan umrah selepas ini.

"Kita akan dapat petunjuk (maklumat lanjut mengenai varian Omicron) daripada KKM nanti. Umrah ini terletak di bawah Motac, bukan bawah Bahagian Hal Ehwal Agama, jadi pihak saya akan berbincang dengan kementerian itu dan KKM.

"Saya tidak dapat komen lebih berhubung perkara ini sehingga perbincangan dan maklumat lanjut diperolehi," katanya ketika ditemui selepas majlis Perjumpaan Bersama Tuan-Tuan Guru Pondok Kedah di Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Tuan Guru Haji Salleh di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Di majlis itu, Idris menyampaikan sumbangan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM290,000 kepada Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama (Hesa) Kedah dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri itu.

Idris berkata, semua jemaah umrah dinasihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan KKM sepanjang berada di Tanah Suci.

Katanya, jemaah yang baharu pulang selepas mengerjakan umrah juga diminta bekerjasama dalam mematuhi tempoh kuarantin kendiri yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kalau boleh kita harap jemaah umrah yang pulang dapat melakukan ujian saringan Covid-19 setiap hari, keduanya mereka tidak perlu keluar rumah dalam tempoh itu (kuarantin) supaya tidak berlaku jangkitan.

"Orang ramai atau kenalan juga diminta menangguh dahulu niat untuk menziarah individu yang baharu pulang dari Arab Saudi," katanya.

Kelmarin, media melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dipertik berkata, kerajaan mungkin menangguhkan ibadah umrah jika situasi penularan varian Omicron di Arab Saudi meningkat dan jangkitan dalam kalangan jemaah tempatan berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun, Khairy memberitahu pada masa ini keadaan belum lagi sampai ke tahap menangguh ibadah umrah dan kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 3:39 PM