GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan terdapat kes varian Omicron di daerah Kota Setar membabitkan individu yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadat umrah.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, orang ramai bagaimanapun tetap dinasihatkan menangguh dahulu daripada menziarahi saudara mara dan kenalan yang baru pulang dari negara berkenaan.

"Nasihat saya adalah selari dengan gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin... individu yang baru pulang daripada menunaikan umrah yang dibenarkan kuarantin di rumah perlu patuh dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam tempoh pengasingan ini tidak perlu terima tetamu.

"Walaupun setakat ini tiada kes disahkan dijangkiti varian Omicron di daerah Kota Setar, namun orang ramai tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika duhubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej tular menyatakan terdapat kes varian Omicron membabitkan individu yang pulang daripada menunaikan umrah.

Kelmarin (Sabtu) media melaporkan mulai minggu depan, semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan memakai peranti digital bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada keseluruhan 49 kes Omicron dikesan, 30 membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Katanya, kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, didapati tidak mematuhi arahan itu, malah menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 10:39 AM