Paya Linda Yahya


Gua Musang: Projek Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 billion yang bakal menjana 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional dijangka memulakan tugas pada pertengahan 2027.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, skim hidroelektrik itu akan meningkatkan kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baru (TBB) di Semenanjung Malaysia.

"Ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantunagn terhadap arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik dengan menetapkan sasaran sebanyak 40 peratus kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang 2035.

"Projek ini mampu menjana tenaga serta-merta bagi memastikan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada Grid Nasional sekiranya berlaku gangguan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Nenggiri, di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, projek yang dijangka siap pada 2026 itu akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 kilometer persegi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Nenggiri hari ini.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Nenggiri hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, empangan terbabit juga akan menjadi tebatan banjir kepada penduduk yang berada di hilir sungai.

"Antara manafaat lain yang akan diperoleh oleh penduduk adalah pembekalan air bersih dan penambahbaikan pengaturan untuk pertanian.

"Manakala bagi masyarakat Orang Asli di tiga penempatan iaitu, Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias, mereka diberi penempatan baru dengan infrastruktur dan keperluan asas lebih selesa dan lengkap," katanya.

Katanya, pelaksanaan projek terbabit diharapkan dapat merancakkan pembangunan ekonomi negeri khususnya daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 5:08 PM