Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang hilang selepas kereta Proton Saga yang dinaiki bersama ibu bapanya terjunam ke dalam Sungai Korok, hari ini ditemui lemas.

Jasad Muhammad Khairil Muhaimin Suhaimi, 12, ditemui pada jam 4.10 petang dalam kereta berkenaan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan Bomba.

Ibu mangsa, Nurul Aqmar Zainol, 34, yang hamil tujuh bulan dan bapanya, Suhaimi Hassan, 36, berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, keluarga terbabit menetap di Pokok Sena dan dipercayai dalam perjalanan dari arah Tanjung Kapur menghala ke Pekan Jitra.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, jasad mangsa berjaya dikeluarkan selepas kereta Proton Saga itu dinaikkan dari sungai berkenaan dengan bantuan trak penunda.

Beliau berkata, keadaan cuaca ketika kejadian elok namun mungkin faktor kenderaan menyebabkan kejadian berlaku.

"Operasi mengambil masa dua jam dan berjaya mengeluarkan mangsa di dalam kereta dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.

"Kekuatan anggota hari ini adalah seramai 17 orang dari BBP Jitra termasuk PPDA.

"Keadaan paras air nampak surut, cuma apabila kereta itu terbabas dan mungkin melanggar pokok menyebabkan kereta itu terjatuh ke dalam sungai dan kanak-kanak itu gagal menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sayani berkata, pihaknya berjaya mengesan kereta itu dengan cepat malah tebing ini tidak terlalu tinggi selain dibantu trak penunda dapat menemui mayat kanak-kanak itu dengan cepat.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 4.20 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga pada jam 2.40 petang.

Beliau berkata, kereta itu dipercayai terbabas sendiri di Jalan Sungai Korok menghala ke Pekan Jitra.

"Mayat kanak-kanak itu ditemui ketika operasi pencarian dilakukan dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut," katanya.

Jasad Muhammad Khairil Muhaimin ditemui lemas selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terjatuh ke dalam Sungai Korok. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Jasad Muhammad Khairil Muhaimin ditemui lemas selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terjatuh ke dalam Sungai Korok. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 5:36 PM