LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Kereta Proton Saga yang dinaiki tiga sekeluarga dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke dalam Sungai Korok.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan itu menyebabkan kanak-kanak lelaki, Muhammad Khairil Muhaimin Suhaimi, 12, meninggal dunia selepas terperangkap dalam kereta yang tenggelam sepenuhnya dalam sungai berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika bapa mangsa yang memandu kereta terbabit memandu dari arah Tanjung Kapur menghala ke Pekan Jitra.

"Apabila sampai di tempat kejadian di jalan lurus, secara tiba-tiba kereta Proton Saga terbabit disyaki hilang kawalan menyebabkan terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam sungai.

"Pemandu dan penumpang hadapan kereta itu berjaya keluar dari kenderaan sebelum kereta itu tenggelam sepenuhnya ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, akibat dari kejadian itu, bapa mangsa, Suhaimi Hassan, 37, yang bekerja sebagai juruteknik luka di lengan dan muka sebelah kanan manakala ibunya, Nurul Aqmar Zainol, 35, luka di pipi kanan serta sakit di bahagian belakang.

Menurutnya, mayat kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan sekitar jam 4.30 petang dari kereta Proton Saga berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Jitra.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 7:40 PM