GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas dan satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA berkenaan.

Menurutnya, LRA Sungai Langat pula berlaku peningkatan kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian.

Katanya, operasi bagi LRA Cheras Batu 11 pula terpaksa dihenti tugas berikutan banjir.

"Berikutan henti tugas LRA ini, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jangkaan bagi LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

Menurutnya, Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Ini disebabkan kesulitan yang dialami kerana kebanyakan jalan utama ditutup ekoran kejadian banjir yang meningkat.

"Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:00 PM