FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Basri berkata, pencemaran bau itu dikesan jam 11.10 pagi ini.

Menurutnya, Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

"Henti tugas LRA Sungai Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling sebanyak 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Air Selangor mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna yang terbabit.

Beliau berkata, Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19.

"Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi media sosial Air Selangor atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 selain aduan juga boleh dibuat menerusi www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 3:31 PM