FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan lori tangki air bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas.

Ini berikutan Lori Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi yang masih belum beroperasi buat masa ini susulan henti tugas akibat pencemaran bau, semalam.

Menurut Air Selangor, bantuan bekalan air diberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

"Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor," demikian kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Air Selangor turut memaklumkan bacaan TON berkurang kepada 0 TON untuk LRA Sungai Semenyih, dan 2 TON untuk LRA Bukit Tampoi setakat 8 pagi ini, namun belum boleh beroperasi.

"Loji-loji ini hanya boleh mula beroperasi semula setelah bacaan 0 TON direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) akan terus menjalankan pemantauan rapi ke atas kualiti air sungai di kawasan insiden pencemaran supaya LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 10:17 AM