PENGGUNA mengambil bekalan air dari pili air yang disediakan air Selangor di Persiaran Setia, Subang Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGGUNA mengambil bekalan air dari pili air yang disediakan air Selangor di Persiaran Setia, Subang Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11.30 malam esok, menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, berikutan tiada bau yang dikesan di muka sauk, Air Selangor telah memulakan proses rawatan air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih).

"Ini untuk memastikan agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna," katanya.

Terdahulu, LRA Sg Semenyih telah dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Sementara itu, menurut Elina bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki, katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.

Menurut Elina, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden berkenaan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 10:22 PM