GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan tugas berikutan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar kawasan itu.

"Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Wilayah itu adalah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Elina berkata, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi aplikasi Air Selangor.

Katanya, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna.

"Sebanyak 81 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dan premis kritikal.

"Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama ketika peningkatan kes Covid-19.

"Justeru Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Oleh itu katanya, pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Untuk sebarang pertanyaan atau aduan boleh dilakukan menerusi Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 12:18 PM