SAMPEL air mentah yang diambil dari Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan. FOTO Bernama
SAMPEL air mentah yang diambil dari Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi masih belum beroperasi sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sehingga 7:30 pagi tadi, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Semenyih.

"Pencemaran bau berada pada tahap 5 TON di Muka Sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 TON di Muka Sauk LRA Sungai Semenyih.

"Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 274 kawasan dan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tidak dapat ditentukan sehingga kini.

"Air Selangor menyarankan pengguna mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan.

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami http://www.airselangor.com.

"Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 10:49 AM