Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pembinaan makmal swasta kateterisasi jantung (Cath Lab) di Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu (KMIKT) di sini, bernilai RM4 juta bakal memanfaatkan penduduk Pantai Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali berkata, makmal itu adalah yang pertama seumpamanya menawarkan perkhidmatan diagnostik dan kardiologi intervensi kepada komuniti Pantai Timur.

Katanya, empat perkhidmatan rawatan jantung ditawarkan angiografi koronari, angioplasti koronari, pemantauan elektrofisiologi (EP) dan pemasangan alat pacu jantung (pacemaker).

"Sebelum ini, Terengganu hanya mempunyai sebuah makmal kateterisasi di hospital kerajaan dan ini menyebabkan penduduk perlu ke luar negeri untuk mendapatkan rawatan alternatif untuk jantung.

"Kelebihan makmal ini pula adalah kami satu-satunya hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan EP (rawatan untuk mengatasi masalah degupan jantung) di Pantai Timur," katanya pada sidang media selepas perasmian makmal itu, hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, perkhidmatan Cath Lab oleh KMIKT memberikan satu lagi penanda aras kepada hospital swasta milik kerajaan negeri.

Katanya, ia seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan perubatan yang terbaik kepada semua, selain diharap mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

Dalam pada itu, Cath Lab KMIKT yang mula dibina pada 2019 memulakan prosedur pertama pada awal Disember tahun lalu, manakala klinik kardiologi beroperasi lima kali seminggu bermula 8 pagi hingga 5 petang dengan kapasiti pesakit antara 20 hingga 25 orang sehari.

Dr Rayney Azmin Ali semasa sidang media selepas perasmian Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) KMI Kuala Terengganu di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Dr Rayney Azmin Ali semasa sidang media selepas perasmian Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) KMI Kuala Terengganu di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 8:51 PM