Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), di sini akan dijenamakan semula sebagai Pusat Jantung Negara Sabah bagi memenuhi keperluan rawatan jantung di negeri ini.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 80 juta untuk menaik taraf HQE2 menjadi hospital pakar jantung.

Katanya, ia menjadikan Sabah memiliki kemudahan rawatan pakar jantung yang kedua di negara selepas Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

"Saya umum supaya kemudahan khas atau lot khas untuk jantung negara yang disebut Pusat Jantung Negara Sabah disediakan di Sabah.

"Dengan ini kita akan tambah seramai tiga orang pakar dan 120 orang tenaga sokongan terlatih membabitkan peruntukan sebanyak RM 80 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Katanya, kerja awal untuk menaik taraf HQE2 sebagai Pusat Jantung Negara Sabah yang membabitkan kerja menaik taraf ruang sedia ada dan infrastruktur akan bermula pada tahun ini.

Tiga pakar dan 120 tenaga sokongan terlatih yang diumumkan Anwar itu bagi menambah tiga doktor pakar dan 120 jururawat terlatih sedia ada di HQE2.

Perdana Menteri berkata, kemudahan baharu itu, bagi menambah baik Perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik dewasa dan kanak-kanak sedia ada di HQE2 yang dilengkapi sebanyak 107 katil pesakit, Klinik Pakar, Makmal Kateterisasi Invasif dan Bukan Invasif dan Dewan Bedah Kardiotorasik.

"Saya dimaklumkan perkhidmatan kardiologi HQE 2 kini mempunyai tiga pakar dan 120 jururawat terlatih tetapi ini tidak cukup untuk rakyat Sabah, jadi kita tambah lagi tiga pakar dan tenaga sokongan terlatih," katanya.

Langkah itu katanya adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Di Sarawak, katanya kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah pusat kanser negara di negeri itu bagi meningkatkan rawatan yang membabitkan pesakit kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:14 PM