Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kemaman bakal menerima sebuah hospital swasta baharu dibangunkan kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) pada pertengahan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali berkata, pembinaan hospital itu antara empat rangkaian hospital akan dibangunkan menjelang 2025.

Beliau berkata, tiga lagi hospital lain adalah di Temerloh, Pahang; Kota Bharu, Kelantan dan Pulau Pinang.

"Sebagai permulaan usaha menambah rangkaian, kita akan mulakan pembinaan Pusat Perubatan KMI Chukai (KMI Chukai) di atas tanah berkeluasan 2.18 hektar di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman.

"Kerja pembinaan dijangka bermula pertengahan tahun depan dan hospital beroperasi sepenuhnya pada 2025," katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KMI Healthcare dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pemeteraian memorandum itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi KMI Healthcare, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin.

Rayney berkata, semua hospital KMI menyediakan 100 peratus bilik perseorangan, sekali gus membolehkan semua kategori pesakit menikmati kemudahan privasi sepanjang menerima rawatan.

Katanya, ketika ini KMI Healthcare memiliki lima hospital iaitu Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu (dahulunya Hospital Pakar Kuala Terengganu) diikuti Pusat Perubatan KMI Kuantan di Pahang, Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya (Selangor), Pusat Perubatan KMI Taman Desa (Kuala Lumpur) dan Pusat Perubatan KMI Tawau (KMI Tawau) di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Rayney berkata, pihaknya mensasarkan pendapatan keseluruhan kumpulan sebanyak RM220 juta sehingga akhir tahun ini.

Menurutnya, pendapatan keseluruhan sehingga September lalu mencecah RM163 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:11 PM
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diantara Dr. Rayney Azmi Ali (dua kanan) dengan  Jusman Ibrahim (dua kiri) di Wisma Darul Iman. FOTO GHAZALI KORI
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diantara Dr. Rayney Azmi Ali (dua kanan) dengan Jusman Ibrahim (dua kiri) di Wisma Darul Iman. FOTO GHAZALI KORI