FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tiada sebarang saman atau kompaun diterima pihak pentadbiran masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) setakat ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria, berkata tahap pematuhan SOP di masjid dan surau di negeri ini berada pada tahap yang tertinggi sekali gus memutuskan penularan wabak Covid-19.

Katanya, sebanyak 11 SOP dikeluarkan JHEAIPP bagi memudahkan jemaah setiap kali datang ke masjid dan surau yang ia dipatuhi dengan baik.

"Kita sedar banyak program lain di tempat awam yang dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita juga banyak beri banyak kelonggaran dari segi SOP masjid serta surau.

"Namun, setakat ini pentadbiran masjid dan surau di negeri ini masih mematuhi SOP ditetapkan apabila kita tidak menerima sebarang saman atau kompaun," katanya ketika ditemui selepas Program Pemantapan Guru Takmir Masjid di Hotel Ixora, Perai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail mewakili Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Seramai 200 guru takmir di negeri ini hadir pada program berkenaan yang diadakan bersama dengan pelancaran Program Pembinaan Modul Al-Hikmah.

Dalam pada itu, Mohd Zakuan berkata, sehingga kini semua masjid dan surau di Pulau Pinang masih mengekalkan jarak saf sehingga satu meter ketika menunaikan solat.

Menurutnya, ia berikutan ada kapasiti atau ruang di masjid dan surau yang boleh diisi oleh para jemaah lain sekaligus memastikan SOP yang ditetapkan itu dipatuhi.

"Perkara-perkara berkaitan SOP ini juga kita turut maklumkan dalam Facebook rasmi termasuk penerangan berhubung perbandingan antara masjid dan tempat-tempat awam," katanya.

Zakuan berkata, pihaknya sentiasa membincangkan mengenai SOP di masjid dan surau bersama pihak MAINPP termasuk dengan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dalam menjaga keselamatan jemaah.

Tegasnya, sebarang bentuk pindaan SOP membabitkan institusi agama Islam di Pulau Pinang adalah tertakluk di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM, manakala bagi pihak jabatan itu perlu melalui muzakarrah di peringkat tertinggi dalam JHEAIPP sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 4:46 PM