SEGALA aktiviti memasak dan mengedar bubur lambuk di masjid dan surau di Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini dibatalkan. FOTO NSTP
SEGALA aktiviti memasak dan mengedar bubur lambuk di masjid dan surau di Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini dibatalkan. FOTO NSTP
Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membatalkan kebenaran terhadap sebarang aktiviti memasak dan mengedar bubur lambuk di masjid dan surau di Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini.

Pengarahnya Zulkifli Long berkata, arahan pembatalan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Pulau Pinang yang ditetapkan, semalam.

Katanya, tindakan itu bagi mematuhi langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

"Jabatan ini mengambil maklum keputusan mesyuarat berkenaan semalam, yang tidak membenarkan sebarang aktiviti memasak dan mengedar bubur lambuk di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.

"Diharap keputusan ini dapat dipatuhi semua ahli kariah," katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Pada 21 April lalu, Zulkifli menerusi kenyataan JHEAIPP membenarkan aktiviti memasak dan mengedar bubur lambuk sepanjang Ramadan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antara syarat itu ialah petugas yang menyediakan dan mengedar bubur lambuk tidak melebihi tiga orang.

Manakala kaedah pengambilan juadah secara pandu lalu atau mengambilnya di masjid dan surau adalah tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 3:16 PM