AHMAD Hasbullah melakukan pemeriksaan perbarisan pada sambutan Hari TDM ke- 89. FOTO Syarafiq Abd Samad
AHMAD Hasbullah melakukan pemeriksaan perbarisan pada sambutan Hari TDM ke- 89. FOTO Syarafiq Abd Samad
Hidayatul Akmal Ahmad


BUAT julung kali, Padang Bola Ladang Kemuning. Sungai Siput, Perak dipilih sebagai lokasi Sambutan Hari Tentera Darat Malaysia (TDM) Ke-86.

Pemilihan itu dibuat kerana ia lokasi pertama darurat yang diisytiharkan di Tanah Melayu pada 1948.

Pengisytiharan itu selepas peristiwa pembunuhan tiga peladang berbangsa Inggeris oleh pengganas komunis di Ladang Elphil dan Ladang Phin Soon pada 16 Jun tahun sama.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, sambutan kali ini diadakan serentak dengan pelancaran latihan medan peringkat briged di kedua-dua pemerintahan medan Barat dan Timur.

DEMONSTRASI oleh anggota tentera darat. FOTO Syarafiq Abd Samad
DEMONSTRASI oleh anggota tentera darat. FOTO Syarafiq Abd Samad

“Saya mahukan peluang dan ruang ini digunakan untuk kita berlatih sebagai satu kumpulan untuk berperang, bukan untuk demonstrasi.

“Semua peringkat warga negara perlu ada pemikiran membudayakan latihan sama ada fizikal, mental dan rohani.

“Jadikan sebagai gaya hidup sihat tentera untuk memantapkan lagi jati diri,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan TDM, hari ini.

Beliau turut mengingatkan anggota tentera supaya memberi sepenuh tumpuan, komitmen dan tidak berlakon dalam melaksanakannya tugas dan amanah yang diberi.

“Kita semua adalah tentera 24 jam, maka utamakanlah tugas sepenuh hati. Kerjaya tentera bukan tempat untuk mencari kekayaan atau mengejar kemewahan,” katanya.

Sambutan PTD kali ini turut melaksanakan Eksesais Satria Perkasa iaitu siri eksesais yang dirancang menguji keupayaan formasi dan pasukan selaku Strike Force dalam peperangan konvensional.

Selain mempamerkan konsep tempur bagi menguji keupayaan anggota, turut diadakan pameran aset pasukan utama pertahanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:48 PM