Lapan PATI Myanmar yang ditahan anggota polis di Kampung Lemal, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di sini, jam 1.30 awal pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Lapan PATI Myanmar yang ditahan anggota polis di Kampung Lemal, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di sini, jam 1.30 awal pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Cubaan menyeludup masuk lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar menggunakan kereta Proton Persona gagal apabila ditahan polis di Kampung Lemal, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, dua lelaki dipercayai tekong dan penumpang hadapan melarikan diri ke dalam semak berdekatan manakala lapan Pati berusia 18 sehingga 39 tahun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, anggota polis yang membuat rondaan terserempak kereta Proton Persona dalam keadaan mencurigakan di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu memecut kenderaan menghala ke Pasir Mas sebelum berhenti di kawasan Kampung Lemal.

"Hasil pemeriksaan ke atas semua pati mendapati tidak memiliki sebarang barangan yang salah namun mereka didapati datang ke Malaysia secara haram kerana tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua lapan Pati ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, individu yang tidak bertanggungjawab bertindak sebagai tekong menjalankan kegiatan pada waktu tengah malam dan awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, pihak polis sentiasa membuat pemantauan 24 jam bagi memastikan keadaan terkawal termasuk daripada aktiviti penyeludupan selain bekerjasama baik dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam menangani jenayah terutama di sempadan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:16 PM