GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


Kota Bharu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ditangguhkan lebih awal berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) positif Covid-19.

Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub, berkata selain 2 Adun positif, seorang lagi Adun menjadi kontak rapat.

Sehubungan itu, beliau terpaksa membuat keputusan menangguhkan persidangan DUN lebih awal daripada jadual yang sepatutnya pada Selasa, bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19.

"Saya mendapat maklumat pagi ini dua Adun positif Covid-19 iaitu Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim dan Adun Tendong, Mohd Rozi Muhamad. Manakala ADUN Kemuning menjadi kontak rapat kerana anaknya positif.

"Sepatutnya kita bersidang selama empat hari iaitu sehingga Selasa ini, namun disebabkan ada Adun positif, kita mengambil langkah awal dengan menangguhkan persidangan DUN ke tarikh dan masa yang akan diberitahu kelak.

"Alhamdulillah kita dapat tamatkan selepas lulus belanjawan. Mengikut Perkara 29 peraturan dewan, speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Dun Kelantan, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, sebelum ini semua Adun sudah menjalani ujian swab iaitu dua hari sebelum persidangan Dun bermula dan ketika itu semua negatif.

Terdahulu, Belanjawan Kelantan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, lulus tanpa dibahaskan.

Belanjawan 2022 dibentangkan dengan defisit sebanyak RM90.49 juta berbanding RM66.02 juta tahun lalu.

Belanjawan bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera itu menyaksikan peningkatan desifit sebanyak RM24.47 juta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 11:56 AM