DATUK Abdullah Yakob
DATUK Abdullah Yakob
BERNAMA

Kota Bharu: Belanjawan Kelantan 2022 dijangka dibentangkan pada 2 Disember ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub.

Beliau berkata, ketetapan tarikh pembentangan belanjawan itu sudah diangkat kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada minggu lalu bagi mendapatkan perkenan baginda.

Menurutnya, belanjawan berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim,di sini.

"Selepas hari pembentangan (2 Disember), sidang DUN Kelantan akan bersambung semula pada 5 hingga 7 Disember dengan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan membahaskan mengenai belanjawan tersebut," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tarikh pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 peringkat Kelantan, Abdullah berkata, perkara itu belum ditetapkan buat masa ini memandangkan laporan berkenaan perlu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ia dibentangkan.

Kali terakhir Persidangan DUN Kelantan diadakan pada 23 hingga 25 Ogos lalu dengan dihadiri kesemua 44 Adun yang mengamalkan norma baharu bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 4:25 PM