DEWAN Undangan Negeri (Adun) Johor. FOTO Ihsan MEDKOM
DEWAN Undangan Negeri (Adun) Johor. FOTO Ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2023 berjumlah RM1.731 bilion.

Belanjawan Johor 2023 bertemakan 'Maju Johor, Makmur Bersama Rakyat' dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Disember lalu.

Belanjawan dibentangkan itu adalah belanjawan lebihan RM2.44 juta, selepas dua tahun berturut-turut Johor merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.

Kali terakhir Johor merekodkan belanjawan lebihan adalah pada 2020 yang menyaksikan lebihan sebanyak RM2.36 juta, untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di DUN Johor, Onn berkata, negeri ini diunjurkan mengutip hasil dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion manakala perbelanjaan pula dianggarkan berjumlah RM1.731 bilion.

Belanjawan Johor 2023 membabitkan sejumlah RM69.51 juta perbelanjaan tanggungan manakala bakinya, RM1.662 bilion adalah perbelanjaan bekalan.

"Pada tahun depan, hasil Johor dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion dengan perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.731 bilion. Oleh itu, terdapat lebihan sebanyak RM2.44 juta.

"Sejumlah RM1.126 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus membabitkan emolumen sebanyak RM 559.54 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM316.73 juta), aset (RM 27.86 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM 209.37 juta) dan perbelanjaan lain (RM 13.24 juta)," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, di Bangunan Sultan Ismail, dua minggu lalu.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, dilaporkan berkata ekonomi Johor kini kembali rancak dalam era pasca pemulihan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 2:33 PM