Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Program Jualan Keluarga Malaysia untuk meringankan kos sara hidup rakyat akan diteruskan di seluruh negara sehingga isu kenaikan harga selesai.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap Parlimen akan mempunyai program jualan itu mulai Sabtu ini, yang menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20 hingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Ismail Sabri berkata, ia akan diadakan dua kali sebulan dan disasarkan sehingga Februari depan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kita tengok jugalah kalau harga tak turun kita akan teruskan.

"Harga akan mula menurun bila kita melambakkan sayur, ikan dan lain-lain. Kita terpaksa import bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga dapat diturunkan," katanya ketika meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari isu kenaikan harga yang dihadapi rakyat dan berusaha untuk membantu dengan mengadakan program seperti ini.

Tinjauan peniaga melakukan persiapan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia 2021 di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai, Pantai Dalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Tinjauan peniaga melakukan persiapan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia 2021 di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai, Pantai Dalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Katanya, sebahagian besar yang terbabit dalam program ini adalah syarikat swasta dan beliau menghargai pembabitan mereka dalam membantu kerajaan meringankan beban rakyat.

"Kerajaan mengalu-alukan agar lebih banyak pihak industri akan tampil bersama-sama dalam Jualan Keluarga Malaysia di lokasi lain yang akan ditentukan.

"Program jualan ini akan diadakan dari pagi hingga malam dan bergantung kepada lokasi terbabit.

"Kita akan sesuaikan ikut negeri dan daerah. Sasaran awal kita adalah kumpulan B40 dan M40," katanya.

Katanya, beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Kos Sara Hidup membabitkan KPDNHEP sebagai sekretariat dan kementerian lain yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pengangkutan untuk untuk melihat permasalahan yang berlaku.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga tanpa sebab sehingga menyusahkan pengguna.

"Seramai 2,200 penguat kuasa KPDNHEP sudah diarahkan memantau dan mengambil tindakan. Tidak ada kompromi, kita akan ambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:02 PM