Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga barangan keperluan termasuk sayur dan ayam akan kembali stabil antara Januari atau Februari tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia berikutan harga barangan khususnya sayur dan ayam kini mula menunjukkan penurunan.

"Berita gembira ingin saya umumkan bahawa harga barangan antaranya sayur sudah mula menunjukkan ke arah penurunan termasuk juga harga ayam.

"Faktor dan sebab penurunan harga ini mungkin berkaitan dengan pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sedang kita laksanakan atau cuaca di tempat pengeluaran sayur sudah kembali pulih, manakala ayam pula disebabkan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mengimport bekalan ayam ke negara ini," katanya di sini, hari ini.

ROSOL Wahid (depan, tengah) menunjukkan harga jualan ayam di Program Jualan Keluarga Malaysia. FOTO Danial Saad
ROSOL Wahid (depan, tengah) menunjukkan harga jualan ayam di Program Jualan Keluarga Malaysia. FOTO Danial Saad

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di tapak PJKM di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, di sini, hari ini.

Jelasnya, walaupun harga dilihat mula turun, 2,226 pegawai penguatkuasa dan kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di lapangan terutamanya untuk memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Mengulas lanjut mengenai PJKM, Rosol berkata, program itu mungkin tidak akan disambung sekiranya harga barangan sudah kembali stabil.

"Kerajaan menetapkan program ini akan dilaksanakan sehingga Mac tahun hadapan dan sekiranya harga barang sudah kembali stabil antara Januari atau Februari mungkin ia tidak akan disambung lagi.

"Bagaimanapun jika keadaan ini berlaku lagi (harga barang naik) berterusan sehingga April iaitu ketika musim perayaan kita akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.

"Apa yang penting sekarang adalah kita tidak mahu rakyat terkesan dengan apa yang berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata, setakat ini PJKM sudah dilaksanakan di 15 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah setengah juta.

"Sambutan program ini amat menggalakkan apabila lebih 28,000 pengunjung hadir dan ia akan terus diadakan secara berperingkat di kawasan-kawasan lain yang membabitkan 222 Parlimen secara keseluruhannya.

"Program ini diadakan kerana kerajaan cakna dan prihatin dengan masalah yang dilalui rakyat ekoran Covid-19 yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 12:05 PM