Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Pengunjung program Jualan Keluarga Malaysia di Lubok Jong, di sini, teruja apabila barangan kering dan basah dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran biasa.

Tinjauan mendapati ayam, ikan serta sayur-sayuran dijual sekitar 15 sehingga 20 peratus lebih murah dan mula dikunjungi orang ramai seawal 7.30 pagi.

Pengunjung, Mustafa Muda, 73, berkata dia sudah menunggu awal di tapak jualan untuk membeli pelbagai jenis barangan basah buat jualan di kedai makan yang diusahakan anaknya.

"Jualan sebegini amat ditunggu buat pengusaha makanan kerana bekalan barangan basah dan sayur agak mahal di pasaran semasa sejak seminggu lalu.

"Hari ini, saya dapat membeli sayur dan bawang dengan harga dua kali lebih murah selain ayam berharga RM7.90 sekilogram saja berbanding RM9 sekilogram. Ia memang berbaloi buat golongan kurang berkemampuan.

"Sebagai pembeli, saya menyambut baik program ini kerana sedikit sebanyak membantu masyarakat membeli barangan dapur terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini," katanya.

ORANG ramai membeli pelbagai barangan kering dan basah di Program Jualan Keluarga Malaysia di Lubok Jong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai membeli pelbagai barangan kering dan basah di Program Jualan Keluarga Malaysia di Lubok Jong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, program berkenaan diadakan bagi meringankan beban pengguna terutama untuk membeli barangan dapur dan keperluan harian.

"Harga barangan kering dan basah ditawarkan pada harga rendah pada program ini, selain KPDNHEP turut membawa pengusaha ayam dan sayur tanpa 'orang tengah' agar barangan dapat dijual murah.

"Kita juga bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di mana bakal diadakan di lokasi berbeza seluruh Kelantan," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, seramai 133 anggota penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga ditugaskan memantau harga barangan terutama selepas isu harga sayur sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, setakat hari ini, sebanyak 72 notis dikeluarkan membabitkan harga ayam, telur dan sayur-sayuran kepada peniaga seluruh Kelantan yang mengenakan harga tinggi terhadap jualan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:13 PM