Aizat Sharif

Arau: Bekas Ketua Polis Balai Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Arau yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Superintendan Nanda Ma'arof yang akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu.

Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di IPD Arau disaksikan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Surina berkata, kehadiran pegawai kanan polis seperti Ahmad Mohsin membuktikan bahawa polis generasi baru juga mampu mentadbir sesuatu kawasan atau daerah dengan lebih baik.

"Kehadiran ketua polis daerah yang muda ini diharapkan dapat membawa pengalaman yang beliau punyai sebelum ini akan memberi semangat kepada pegawai dan anggota IPD Arau untuk berkerja dengan lebih baik serta menyumbangkan perkhidmatan dengan lebih terbaik.

"Selain itu juga, kita turut menzahirkan ribuan penghargaan kepada Nanda yang sudah menjalankan tugas selama ini dan diharapkan beliau juga dapat meneruskan tugas dengan baik di Seremban nanti," katanya selepas majlis berkenaan.

Nanda (kiri) dan Ahmad Mohsin (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di IPD Arau yang disaksikan Surina (tengah). FOTO Aizat Sharif
Nanda (kiri) dan Ahmad Mohsin (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di IPD Arau yang disaksikan Surina (tengah). FOTO Aizat Sharif

Ahmad Mohsin, 43, yang berasal dari Penaga, Pulau Pinang sudah berkhidmat dalam polis selama 20 tahun.

Dalam majlis sama juga, Surina dalam ucapannya berharap sokongan yang sama dapat diberikan kepada Khatijah Ahmad selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Arau yang baru.

Selain itu, serah terima tugas antara Khatijah dengan bekas Pengerusi PERKEP IPD Normala Ramli turut diadakan dalam majlis berkenaan yang disaksikan juga oleh Surina.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin, Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew dan Ketua Polis Daerah Padang Besar Superitendan Saifudin Aslin Abbas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:16 PM