MOHD Yusrizal Yusoff
MOHD Yusrizal Yusoff
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) minta pengguna memboikot kedai yang menjual makanan yang mahal dan memilih kedai yang lebih murah untuk mengelak daripada membayar harga tinggi.

Setiausaha Cake Mohd Yusrizal Yusoff berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 100 aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga mahal makanan serta bahan mentah di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan aduan yang diterima adalah berkaitan makanan di kedai makan terutama di daerah Kota Setar dan Kuala Muda.

Beliau berkata, aduan diterima sejak dua minggu lalu dan ternyata ia membebankan pengguna terutama yang mempunyai keluarga besar.

"Selain aduan berkaitan harga mahal ikan siakap di Langkawi, kita juga menerima maklumat berkaitan harga roti canai sekeping RM4 di pulau itu.

"Harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, kedai roti canai itu hanya di tepi jalan di pulau Langkawi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusrizal berkata, beliau meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan pemeriksaan di gerai atau premis kedai makan bagi memastikan tidak ada yang menaikkan harga yang tinggi.

Selain itu, katanya, peniaga kedai makan juga perlu meletakkan tanda harga untuk setiap makanan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sebelum membuat pesanan.

"Sekiranya didapati peniaga mengenakan harga yang tidak munasabah dan terlalu mahal, pengguna perlu menyimpan resit untuk membuat aduan bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.

"Kita berharap peniaga juga jangan mengambil kesempatan menaikkan harga ketika ini bagi mengelakkan pengguna dibebani harga tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:29 PM