Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah meminta pelanggan roti canai RM4 sekeping yang didakwa di Langkawi tampil membuat aduan secara rasmi berserta resit untuk memudahkan siasatan dilakukan.

Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai KPDNHEP Langkawi untuk membuat pemeriksaan namun hasil siasatan mendapati tiada premis yang menjual roti canai dengan harga RM4 sekeping seperti yang ditularkan itu.

"Kita sudah menghubungi pihak Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu yang dibangkitkan mereka.

"Kita juga sudah menggerakkan seramai 172 pegawai penguat kuasa di negeri ini untuk melakukan pemeriksaan ke atas harga makanan dan barangan di negeri ini," katanya ketika ditemui ketika melakukan pemeriksaan Op Menu di Jalan Teluk Wanjah, hari ini.

Pegawai KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan harga makanan dalam Op Menu di sekitar bandar raya Alor Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pegawai KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan harga makanan dalam Op Menu di sekitar bandar raya Alor Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad.

Selain itu, Rae Morn turut menasihatkan peniaga makanan supaya tidak mengenakan harga yang tinggi dan mengambil keuntungan secara tidak munasabah bagi mengelak pengguna terbeban.

"Kita akan jalankan siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya didapati ada peniaga yang menaikkan harga yang tinggi ketika pemeriksaan dilakukan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima 100 aduan berkaitan makanan mahal di negeri ini.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, aduan itu termasuk harga sekeping roti canai RM4 yang dijual di Langkawi kira-kira dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:06 PM