GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Kedah menjalankan 'Ops Menu' dengan menggerakkan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di seluruh Kedah sejak 6 November lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, operasi itu dilakukan untuk pemeriksaan di semua restoran dan kedai makan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, operasi ini sudah bermula dan tertumpu berdasarkan aduan orang awam berkaitan berlakunya kenaikan harga makanan.

"Melalui pemeriksaan ini, KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap harga makanan dan minuman serta alat penimbang di restoran yang menjual makanan laut.

"Setakat ini hanya satu kes dilaporkan berkaitan harga ikan siakap di Langkawi melalui Ops Menu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shahran berkata, sekiranya ada kedai makan yang didapati menaikkan harga, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata, siasatan dilakukan berdasarkan peletakan tanda harga, pencatutan serta harga mengelirukan.

"Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan menyimpan resit sekiranya membayar makanan mahal bagi memudahkan siasatan dilakukan.

"Dalam siasatan kita pun, resit amat diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahran berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung harga roti canai RM4 sekeping seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Pengguna Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 7:11 PM