Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO Bernama
Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sudah memanggil beberapa individu bagi memberikan kenyataan susulan isu kartel seperti dibangkitkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati isu berkenaan tidak wujud.

"Siasatan dalaman PDRM mendapati tiada isu namun saya tidak berpuas hati, saya menyuruh EAIC untuk meneruskan siasatan.

"Saya difahamkan beberapa orang dipanggil untuk memberikan kenyataan," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu Hamzah menyampaikan amanat kepada Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, hari ini.

Hamzah berkata beliau akan berkongsi keputusan isu kartel polis ini selepas siasatan selesai dijalankan.

Sebelum ini, Hamzah mengesahkan tidak wujud gerakan 'kartel' dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara April lalu menyatakan wujudnya kartel dalam pasukan keselamatan itu, selain cubaan untuk menjatuhkan beliau kerana lantang mendedahkan salah laku, integriti dan rasuah, dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:08 PM