TAN Sri Mohd Sidek Hassan. FOTO Bernama.
TAN Sri Mohd Sidek Hassan. FOTO Bernama.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana yang didakwa oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung pendedahan Abdul Hamid pada 18 dan 22 Mac 2021 mengenai wujudnya gerakan daripada sekumpulan pegawai PDRM yang ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka.

Menurutnya, dapatan siasatan dan keputusan EAIC sudah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

"Berdasarkan kepada keterangan saksi berserta dokumen yang diperoleh EAIC tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam PDRM sebagaimana yang didakwa oleh Abdul Hamid.

"Siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terbabit dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan dijalankan oleh SPRM dan PDRM ke atas pegawai terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Sidek berkata, dakwaan Abdul Hamid pegawai terbabit dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.

"Keterangan yang diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan/kenaikan pangkat/pertukaran yang diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) membabitkan proses yang teliti dan mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan oleh pihak luar.

"Ketua Polis Negara (KPN) adalah ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan pelantikan/kenaikan pangkat/pertukaran pegawai kanan PDRM kepada SPP perlu mendapat persetujuan daripada KPN," katanya.

Beliau berkata, kedudukan Abdul Hamid selaku KPN tidak dapat digugat kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri.

Sebelum ini, Abdul Hamid mendedahkan terdapat 'geng kartel' dalam PDRM yang cuba menjatuhkannya namun beliau tidak akan membenarkan PDRM digunakan mana-mana pihak.

Malah, pendedahannya terhadap cubaan kelompok kecil membabitkan pegawai muda itu dibuat supaya ia tidak menjadi barah dalam pasukan.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai jijik dan berbahaya selain perlu ditangani dengan pendedahan berani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 7:49 PM